Batas-batas Pergaulan
​
ALAM remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.
​
Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, ‘sesungguhnya aku takut kepada Allah.’”
​
Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’
​
Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram.
​
Semuanya bermula dengan pergaulan bebas tanpa batas, berkawan tak salah yang salahnya bila melampaui batas. Kali ini penulis tampilkan batas-batas dalam pergaulan supaya menjadi bimbingan kepada khalayak remaja sekalian, iaitu:
​
-
Pandangan
-
Pertemuan
-
Percakapan
-
Berjabat tangan
-
Bersentuhan badan
1. Pandangan yang dimaksudkan di sini adalah pandangan yang biasa bukan bertujuan untuk menimbulkan hawa nafsu sama ada dari pihak lelaki atau perempuan.
​
Bagi kaum lelaki, Allah s.w.t memberi peringatan di dalam firman-Nya dalam Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud:
“Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka…”
​
Bagi kaum perempuan juga Allah s.w.t memberi peringatan-Nya sebagaimana maksud Surah An-Nur ayat 31 “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak tengok) setengah dari pandangan mereka…”
dari kedua-dua ayat itu kita dapat menafsirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja.
​
2. Maksud pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat sunyi.
​
Dalam konteks hari ini lebih di kenali dengan istilah ‘khalwat’ mengikut kebiasaannya apabila dua orang yang bukan mahramnya bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan maksiat.
​
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)
​
Dari hadis di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.
​
3. Percakapan atau perbualan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh mendatangkan syak wasangka.
​
Dalam soal ini bukan bermakna antara lelaki dan perempuan tidak untuk bergaul dan bercakap-cakap, Islam tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah mempunyai tujuan yang tertentu atau urusan yang penting sahaja.
​
Larangan itu dibuat semata-mata untuk menghindari pandangan serong atau fitnah orang terutama sekali kaum perempuan.
​
4. Berjabat tangan bermaksud menghulurkan dan menyambut tangan orang lain tanda hubungan silaturahim antara mereka, perlakuan itu meliputi lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan atau sebaliknya.
​
Menurut Islam hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram. Siti Aisyah r.a ada berkata:
“…demi Allah, tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan.” (Riwayat Imam Ahmad)
​
5. Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.
​
Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”
​
Dari hadis di atas dapatlah kita mentakrifkan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah dilarang keras Allah s.w.t.
​
​
ISU SEMASA
​
ARKIB : 07/02/2012
​
Bahaya pergaulan bebas
Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
Antara pendorong kepada pergaulan bebas lelaki dan perempuan adalah kekerapan menonton cakera padat video lucah dan hiburan. - Gambar hiasan
FENOMENA pergaulan bebas pada masa kini sering kali menimbulkan kesan-kesan yang tidak baik dalam kalangan umat Islam. Pergaulan bebas adalah budaya hidup masyarakat Barat yang menyebarkan dan menyebabkan pelbagai gejala penyakit sosial.
​
Kesan-kesan budaya ini telah pun meresap dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Paparan akhbar setiap hari membuktikannya, antaranya berlakunya pembuangan bayi, perzinaan dan juga hidup tanpa kawalan daripada ibu bapa.
​
Pergaulan bebas juga mengundang pelbagai penyakit sosial antaranya HIV dan Aids dan anak luar nikah dalam masyarakat. Tamadun dan kehidupan masyarakat akan runtuh, jika pergaulan bebas dibiarkan tanpa kawalan dan sekatan.
Menjaga batas-batas pergaulan sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam merupakan tanggungjawab setiap individu Muslim.
​
Kewajipan memelihara maruah dan kehormatan diri seharusnya dilakukan oleh setiap Muslim. Dalam hal ini, setiap perlakuan dan perbuatan dijaga dalam batas-batas pergaulan.
​
Pergaulan bebas menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini. Pelbagai masalah wujud antaranya remaja lari dari rumah, seks bebas, masalah pembuangan bayi, masalah penagihan dadah yang akhirnya mengakibatkan keruntuhan moral.
Kesannya, remaja tidak mempunyai masa depan yang terjamin apabila meninggalkan rumah dan keluarga.
Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. (an-Nur: 30).
​
Perintah Allah dalam ayat ini kepada lelaki beriman supaya tidak memandang perkara yang diharamkan. Selain itu, menjaga kemaluan bagi mengelakkan perbuatan zina.
Perbuatan tersebut adalah lebih baik dan setiap perbuatan tersebut sentiasa dalam pemerhatian Allah.
​
Sementara peringatan kepada kaum perempuan Allah berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah kepada orang perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka.
Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
​
Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka, melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan.
​
Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (an-Nur: 31).
Jelas, peringatan kepada perempuan beriman supaya tidak memandang perkara yang diharamkan. Menjaga kemaluan. Tidak menampakkan perhiasan diri kecuali yang zahir sahaja. Memakai tudung sehingga menutupi belahan baju di bahagian (dada).
Secara umumnya, dijelaskan supaya sentiasa menutup aurat, memelihara maruah dan menjaga kehormatan diri serta mengelakkan diri daripada melihat perkara-perkara yang haram.
​
Ini termasuk menyekat pandangan daripada memandang perkara yang haram dan menunduk pandangan daripada melihat perkara yang haram.
Umat Islam juga diingatkan menjaga mata, supaya tidak melihat perbuatan yang diharamkan seperti melihat orang berjudi dan minum arak.
Tidak melihat aurat orang lain walaupun sesama jantina kecuali yang dibenarkan oleh syarak.
​
Tidak melihat aurat bukan mahram tanpa sebab yang diharuskan. Tidak melihat perkara yang boleh menimbulkan keghairahan nafsu walaupun ia hanya barang perhiasan.
Justeru, umat Islam digalakkan menjaga maruah dan kehormatan diri dengan sentiasa patuh kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Tidak mencari kepuasan naluri melalui seks haram. Sentiasa mengawasi pandangan mata daripada melihat perkara-perkara yang haram.
​
​
​
Kesimpulan
​
sebagai umat islam, kita perlulah menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Bermula pada pandangan, kita hanya boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja. Begitu juga dengan pertemuan, percakapan, berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, serta bersentuhan badan. Setiap perbuatan buruk yang bertentangan dengan perintah Allah SWT, mempunyai kesan yang buruk dalam kehidupan kita. Antara kesannya adalah akan merosakkan jiwa dan akhlak, menyuburkan penzinaan, merosakkan maruah diri, masyarakat dan negara serta membawa kepada kemurkaan Allah SWT.
​